• +(603) 8706 0612
  • admin@kmss.edu.my
  • 41, Jalan 4, Medan 120, Bandar Baru Salak Tinggi Business Park, 43900 Sepang , Selangor, Malaysia.
  • News

    Nilai Diri: Pentingkah?

     

    “Siapa mahu duit ini?”

    Meor Daniel menunjukkan duit kertas bernilai RM100 pada kami semua.

    “Saya!”

    Kelihatan ramai pelajar yang meninggikan suara dan berebut mengangkat tangan bermaksud mahu wang tersebut. Termasuk guru pun angkat tangan. Saya antaranya!

    Saya fikir, Meor Daniel berjaya mencuri perhatian kami semua dalam masa beberapa saat sahaja. Itu bukan bermaksud kami mata duitan. Ini ialah satu teknik memikat penonton dengan mulakannya dengan pertanyaan.

    Hari Isnin merupakan hari perhimpunan semua pelajar dan guru termasuk pihak pengurusan KMSS. Setiap hari Isnin, para guru dan pelajar bergilir untuk berkongsi apa-apa sahaja syarahan di hadapan. Hari ini merupakan giliran pelajar. Pelajar yang bertuah itu, ialah Meor Daniel.

    Meor Daniel kemudian melipat duit tersebut, dia kembali bertanya: “Siapa mahu wang ini? Sila angkat tangan. Masih ramai yang mengangkat, malah semakin riuh. Dia lipat lagi wang tersebut sehingga menjadi lebih kecil. Dia ulang lagi soalan. Tetap ada yang mahukan duit tersebut. RM100 tuan-tuan. Siapa yang tidak mahu? Jika seorang menggunakan RM20 untuk makan untuk setiap hari, maka dia sudah boleh jimat untuk lima hari makan.

    Kali ini Meor Daniel meronyokkan duit tersebut sehingga menjadi seperti bola kecil. Dia kembali bertanya. Soalan yang sama. Audien tidak berputus asa. Tetap mengangkat tangan. Sekali lagi saya konsisten mengangkat tangan.

    Meor Daniel sekali lagi membuat aksi yang tidak dijangka. Dia baling duit ke lantai, kemudian memijaknya berkali-kali. Semua audiens terpinga-pinga. Suasana semakin tegang dan sepi tanda ingin tahu apa yang akan berlaku lepas ini? “Meor, jangan koyak duit tu pula lepas ni.” Hati saya bersuara. Darah muda sungguh pelajar ini.

    Dia kembali bertanya: “Sekarang ada lagi yang mahu duit ini?”

    Kali ini semakin berkurang yang angkat tangan. Meor Daniel tersenyum. Dia bertanya lagi : “Kenapa duit ini walaupun dironyok, dicampak dan dipijak, tapi tetap kita masih mahukannya?”

    “Sebab dia ada nilai!” Ramai pelajar yang jawab tanda mesej di sebalik kelakuan anak muda ini sampai kepada mereka.

    “Begitulah dengan diri kita!”

    Belum sempat Meor menyambung kata-katanya, kesimpulan yang dia buat mendapat tepukan yang gemuruh dari kawan-kawannya. Dia terpaksa berhenti bercakap untuk seketika kerana tepukan menggegarkan dewan sekolah.

    “Begitulah hidup kita. Jika kita ada nilai, seteruk mana kita jatuh, kita tetap bernilai.” Sambung Meor Daniel untuk menyudahkan kata-katanya tadi.

    Dalam masa sekitar 5 ke 7 minit syarahannya, bagi saya dia telah berjaya menyampaikan mesej dengan jelas, baik dan difahami oleh semua yang mendengar. Walaupun ramai yang nampak Meor Daniel gugup dan pegang mikrofon dalam keadaan menggigil, namun dia berjaya melawan ketakutkannya.

    Betullah kata pepatah Arab:

    “الخوف لا يمنعك من الموت، ولكن يمنعك من الحياة”
    “Ketakutan tidak membunuhmu, tapi ia menghalang kamu untuk hidup.”

    Berbalik kepada mesej yang ingin disampaikan Meor Daniel. Pada penghujung syarahannya, dia menasihatkan agar pelajar, jangan sesekali merendahkan nilai yang ada pada diri. Jika belajar, belajarlah bersunggu-sungguh. Tambahlah nilai dalam hidup. Saya juga turut terkesan dengan ucapan Meor Daniel. Tidak kira berapa banyak umur kita, nilai perlulah ditambah dengan tambahnya ilmu.

    Selepas syarahan tersebut, Sir Aqtar memberi penghargaan dan penghormatan kepada Meor Daniel kerana berani melawan ketakutan yang dia sendiri akuinya dan telah menunjukkan satu contoh yang baik buat kawan-kawan.

    “المرء بفضيلته لا بفصيلته وبكماله لا بجماله وبآدابه لا بثيابه.”

    “Seseorang itu dengan kelebihannya bukan keluarganya, kesempurnaannya bukan kecantikannya dan adab perangainya bukan pakaiannya.”

     

    Muhammad Umar Mukhtar
    Guru Bahasa Arab KMSS

    Leave a comment